
KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KONTRAKTOR PERUMAHAN MALAYSIA (PKPM)
BAHAN BINAAN NAIK SEHINGGA 15%
Pihak kami ingin menyatakan kebimbangan terhadap kenaikan harga bahan binaan dan kos berkaitan yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Kenaikan harga yang mencecah sehingga 15% dan masih tidak menentu pada masa kini telah memberi tekanan kepada industri pembinaan, khususnya dalam sektor swasta seperti pembinaan rumah atas tanah sendiri, kerja-kerja renovasi serta hiasan dalaman.
Keadaan ini berpotensi menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek, meningkatkan risiko kelewatan serta memberi kesan kepada kos keseluruhan pembinaan. Sekiranya tiada langkah penyesuaian diambil, adalah dibimbangi projek berisiko mengalami kelewatan yang serius atau berpotensi terbengkalai.
Sehubungan itu, pendekatan yang lebih fleksibel serta kerjasama antara semua pihak amat diperlukan bagi memastikan projek dapat diteruskan dengan baik tanpa membebankan mana-mana pihak.
Saya, IDr. Dr. Muhsin Abdul Ghani, selaku Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM), ingin menegaskan bahawa kenaikan harga bahan binaan yang tidak menentu ini merupakan satu cabaran besar kepada industri pembinaan pada masa ini.
Keadaan ini memerlukan kefahaman dan kerjasama semua pihak agar kelangsungan projek dapat dipastikan tanpa menjejaskan kualiti serta kestabilan industri pembinaan secara keseluruhan.